Mencantas Gejala Wahabi Di Malaysia

Kali pertama saya terserempak dengan penganut-penganut Wahabi, saya bingung kerana tak pernah dengar pasal Wahabi langsung sebelum itu. Maklumlah, dalam pendidikan agama Islam semasa zaman persekolahan, Islam dilukiskan sebagai tidak pernah ada perbezaan pendapat, apa lagi perpecahan. Gambarannya harum menawan. ‘A romantic view’ , dalam bahasa Inggeris. Gambaran sebenar lebih mengecewakan tetapi sekurang-kurangnya lebih jujur. Sebenarnya perbezaan pendapat sehingga ada konflik berlarutan memang sudah terjadi sejak zaman sahabat Nabi lagi. Konflik sampai berbunuh-bunuhan sehinggakan tiga puluh ribu orang terkorban dalam peperangan antara sahabat-sahabat Nabi sendiri. Jadi perbezaan pendapat itu perkara biasa, sebenarnya. Apa yang membahaykan ialah bila sesuatu pihak itu mengaku dirinya sebagai ‘firqah najiyyah’ (golongan terselamat). Inilah paksi pemikiran Wahabi.

Semua orang Islam percaya yang golongan yang mereka ikuti berpegang kepada Al-Quran and Sunnah Nabi Muhammad. Malahan golongan Quranis yang tidak berpegang kepada Hadis pun percaya yang mereka mengikuti Sunnah Nabi ialah mengikuti Al-Quran! Jadi klaim mengikut Al-Quran dan Sunnah itu sememangnya universal. Masalahnya, tiap-tiap golongan percaya yang merekalah pengikut Nabi Muhammad yang sebenar. Ada golongan yang lebih fleksibel, iaitu menerima yang ada segelintir golongan lain juga berkongsi kebenaran. Agama Ahlus Sunnah Wal Jamaah lazimnya mempunyai sifat fleksibel ini di mana mereka menerima mazhab-mazhab mereka sendiri (Syafiee, Hanafi, Maliki and Hambali). Ada juga yang menerima mazhab kelima iaitu mazhab Syiah Jafari juga.

Tetapi golongan Wahabi amat ketegar yang merekalah golongan yang terselamat kerena merekalah yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi dalam versi yang sebenar. Mazhab-mazhab lain kebanyakannya memgamalkan amalan-amalan yang berunsur ‘bid’ah’. Bid’ah adalah celaan yang amat kerap digunakan oleh geng Wahabi dan bermaksud ‘perkara yang baru’ atau ‘inovasi’. Kaum Wahabi mendakwa, berdasarkan pemahaman mereka tentang sesuatu hadis, yang semua bid’ah akan ditolak dan akan berada dalam api neraka. Jadi mereka amatlah serik dengan perbuatan yang berunsur bid’ah.

Berbalik kepada pengalaman saya dengan kaum Wahabi. Semasa itu (pertengahan zaman 90an), saya baru datang ke UK untuk melanjutkan pelajaran. Pemikiran Wahabi sudah lama bertapak di sini pada masa itu. Saya memang berminat dengan bidang tasawwuf dan membeli satu buku yang tajuknya amat menarik iaitu ‘Sufism in Light of Quran and Sunnah’ (Sufisme dari sudut Al-Quran dan Sunnah). Saya memilih buku tersebut kerana, seperti yang  di atas, ‘Al-Quran dan Sunnah’ itu menjadi tunggak kebenaran sesorang Muslim. Jadi saya mencari keaslian dalam buku itu. Alangkah terkejutnya saya apabila membaca yang amalan tasawwuf itu sebenarnya bid’ah! Bukan saja itu, malahan hadis-hadis yang kerap dipakai oleh ulamak-ulamak tasawwuf juga sebenarnya bukanlah sahih. Satu daripada hadis-hadis ini berbunyi ‘sesiapa yang mengenali jiwanya akan mengenali Tuhannya’ dan amatlah penting dalam amalan tasawwuf. Peristiwa itulah menjadi titik permulaan saya mengenali fikrah Wahabiyah.

Seminggu dua yang lepas, saya menerima satu pesanan dalam Whatasapp daripada seorang ahli keluarga. Pesanan itu mengatakan yang berdoa semasa ma’al hijrah (tahun baru umat Islam) adalah bid’ah. Sepatutnya umat Islam melahirkan rasa syukur mereka pada setiap masa, bukan semasa tahun baru sahaja. Dengan serta-merta saya tahu yang sumber pesanan demikian adalah daripada seorang ustad Wahabi yang dianggap sebagai tinggi ilmunya. Ustad ini telah menimbulkan rasa bimbang dan was-was dalam segolonan umat Islam dengan pesanannya. Ahli keluarga saya pun sama juga merasakan bimbang kalau dia telah melakukan satu perkara yang tidak disukai Allah.

Inilah sebenarnya gejala Wahabi. Mereka adalah golongan literalis (iaitu membaca sesuatu tanpa apa-apa pemikiran sekalipun). Mereka menganggap yang, kerana Nabi Muhammad sendiri tidak membaca doa hujung tahun, maka mereka pun tak wajar berbuat demikian. Perlu diingat yang Nabi Muhammad itu dikenali dengan melalui kesusasteraan hadis. Hadis bukanlah lakaran yang lengkap tentang kehidupannya tetapi hanya dibukukan setelah dua ratus tahun lebih selepas hijrah. Mungkin Nabi Muhammad telah berdoa pada akhir tahun tetapi ia tidak dilaporkan. Mungkin juga dia telah membuat doa tersebut secara peribadi atau mungkin dia telah tertidur malam tersebut kerana terlalu letih. Ada banyak kemungkinan sebenarnya.

Apa yang perlu ditanya dalam kes ini ialah, adakah salah jika kita meluangkan masa untuk berdoa pada akhir tahun? Kepada yang taksub kepada budaya Islam sekali pun, ini bukanlah doa ‘happy new year’ kalenda Barat tetapi kalendar Islam sendiri. Apakah salahnya jika kita menggunakan penghujung tahun untuk memasang niat memperbaiki diri? Bukankah itu yang dituntut Islam pada hakikatnya?

Kaum Wahabi juga tidak meyukai kepada golongan Syiah. Seorang Mufti yang amatlah liberal dalam isu-isu lain telah mengejutkan saya apabila dia mengulangi mitos-mitos sejarah mengenai golongan itu. Kononnya, kaum Syiah telah mengkhianati umat Islam (iaitu golongan Sunni) dengan menolong penjajah Mongolia! Mufti ini telah lupa yang empayar Abasiyah Sunni telah lama berada dalam keadaan teruk disebabkan pentadbiran yang buruk (seperti kerajaan Malaysia di masa ini). Itulah yang meyebabkan kejatuhan empayar Islam, sebenarnya, bukan campur tangan kaum Syiah. Amatlah menghairankan seorang Mufti yang dalam ilmunya boleh membawa konklusi sebegini. Tapi itulah petanda fikrah Wahabi sebenarnya, kebencian kepada kaum Syiah. Ini adalah kerana situasi politik di antara Saudi Arabia dan Iran tetapi dalam sejarah Islam, memang wujud sejak awal lagi.

Gejala Wahabi di Malaysia amatlah membimbangkan. Dalam karangan-karangan yang akan datang, saya akan membutirkan bagaimana mengenali retorik Wahabi dan menjawab dakwaan-dakwaan mereka.

 

Advertisements

About Farouk A. Peru

I am a human being in the world, blogging my existence. My thought systems may be found in my website: www.farouk.name
This entry was posted in Malaysia and tagged . Bookmark the permalink.

One Response to Mencantas Gejala Wahabi Di Malaysia

  1. Politicalamity9 berkata:

    tidak mungkin Nabi Muhammad mempraktikkan doa akhir tahun memandangkan sistem tahun hijrah ini di bangunkan semasa zaman Saidina Omar. betulkan saya sekiranya salah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s