Kassim Ahmad: Lebih Baik Daripada Seribu Bulan

Berita Harian, 16 Februari 1996

Kami telah menurunkannya pada Malam Penentuan. Tahukah kamu apakah Malam Penentuan? Malam Penentuan itu lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan Roh turun pada masa itu dengan izin Tuannya untuk menjalankan segala titah. Aman hingga fajar menyinsing. Al-Quran, Al-Qadr 1-5

Tajuk rencana ini kita petik dari ayat tiga, Surah al-Qadr, seperti yang dapat dilihat di atas. Ia merujuk kepada malam turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW apabila beliau dilantik oleh Allah menjadi nabi lagi rasul di Mekah tiga belas tahun sebelum Hijrah lebih seribu empat ratus enam belas tahun dahulu. Mengapakah malam itu diisytiharkan oleh Allah SWT sendiri sebagai “lebih baik daripada seribu bulan”?

Ahli-ahli tafsir telah menterjemahkan frasa lailatul qadar sebagai “Malam Kekuasaan” (Yusuf Ali, Pickthall, Arberry & Irving) atau “Malam Penentuan” (Muhammad Assad & Rashad Khalifa) atau “Malam Kebesaran” (Muhammad Ali) atau “Malam Kemuliaan” (A. Hassan & H.B. Yassin). TIdak syak lagi makna-makna ini semuanya betul, masing-masing dipilih dari aspek-aspek tertentu dari makna kata kerja dasar, qadara. Saya lebih suka makna ‘ketentuan’ atau destiny, dalam bahasa Inggeris, kerana al-Quran itu kebenaran Ilahi yang amat kuat dan dengan demikian menentukan nasib manusia.

Tradisi menyatakan bahawa Malam Ketentuan ini jatuh pada salah satu malam dari sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan, khasnya, malam 27 likur. Ramai orang Islam percaya bahawa jika kita boleh menyaksikan malam ini, bertuahlah kita kerana boleh terkabul apa saja permintaan kita kepada Tuhan. Saya tidak fikir maknanya begitu. Malam Lailatul Qadar itu ialah malam al-Quran diberi kepada Muhammad SAW. Malam itulah yang dimaksudkan lebih baik daripada seribu bulan, bukan malam ulang tahun turunnya al-Quran.

Dalam sebuah ayat (al-Hasyar: 21), Allah menyatakan bahawa jika al-Quran diturunkan kepada sebuah gunung, nescaya gunung itu akan
hancur berkecai, kerana takut kepada Allah. Ini bahasa metafora. Tidaklah bermakna gunung Himalaya akan runtuh jika kita jatuhkan Quran ke atasnya dari sebuah kapal terbang. Maknanya, idea-idea yang terkandung dalam al-Quran itu begitu kuat hingga jika manusia menghayati dan mempraktikkannya, tidak ada kuasa yang boleh mengalahkan mereka.

Hal ini terbukti dalam sejarah Islam awal. Dalam sekelip mata askar-askar Arab-Islam yang gagah berani menawan empayar-empayar tua Parsi, Mesir dan Rom. Parsi dan Rom dua kuasa besar dunia pada zaman itu, sama seperti Amerika Syarikat dan Rusia Soviet dulu. Seperti kata seorang ahli sejarah, “Islam menembusi wilayah-wilayah yang berhampiran seperti panah halilintar. Satu daripada bab-bab sejarah dunia yang tidak dapat dihuraikan sedang bermula. Askar-askar Arab yang tidak dapat ditahan meragut kemenangan demi
kemenangan. Negara demi negara dan kota demi kota ditawan dalam masa yang sangat singkat sekali…. Islam dalam satu lonjakan yang gagah perkasa merubah perjalanan sejarah dunia…”

Bukan setakat mengalahkan dan menawan empayar saja. Dalam masa tiga ratus, ataupun lima ratus tahun, dari abad kesembilan hingga abad ketiga belas, Islam menempa sebuah tamadun dunia saintifik yang pertama, yang sebenarnya merintis jalan kepada kebangkitan Eropah moden. Sekiranya obor mula ini tidak padam di tengah jalan, dengan umat Islam berpaling daripada al-Quran selepas itu, tentulah penjajahan Eropah tidak akan timbul, dunia Islam tidak berpecah dan dijajah oleh kuasa-kuasa penjajah Eropah dan dunia tidak akan jadi sebagaimana yang telah kita lihat dalam masa tiga ratus tahun, khasnya, seratus tahun yang lalu dengan dua peperangan dunia yang dahsyat dan kesengsaraan, huru-hara dan kacau-bilau di mana-mana.

Itulah makna bahawa kekuatan al-Quran boleh menghancurkan gunung. Dalam dua ayat lain, al-Quran disifatkan oleh sekumpulan jin yang mendengar bacaannya sebagai “sebuah bacaan menakjubkan, yang menunjuk ke jalan yang benar” (al-Jin: 1-2), dan disifatkan juga sebuah kitab yang kebal yang tidak boleh ditembusi kebatilan
sama ada dari zaman dahulu atau masa depan. (Lihat surah al-Fussilat: 41-42). Jadi, al-Quran itu menakjubkan, kebal dan menunjuk ke jalan yang benar. Tidak ada sebuah buku dalam dunia yang mempunyai ketiga-tiga sifat ini. Tidak ada sebuah buku, kecuali al-Quran, yang kebal dan terpelihara isi dan kata-katanya. Tidak ada sebuah buku, kecuali al-Quran, yang sepenuhnya menunjuk ke jalan yang benar. Jika makhluk jin, yang kita anggap mempunyai kebolehan yang luar biasa, menganggap al-Quran “menakjubkan”, pastilah ia sungguh menakjubkan.

Inilah sebab-sebabnya Allah SWT menyatakan bahawa
malam turunnya al-Quran itu sebagai lebih baik dari seribu bulan. Dari segi tempoh, 1000 bulan sama dengan 83.33 tahun. Sesuatu generasi manusia tidak boleh hidup lebih daripada tempoh ini. Jadi, kenyataan ini membawa makna bahawa Malam Penentuan ini lebih baik daripada malam-malam lain dalam sejarah manusia, yang
telah lalu dan akan datang!

Demikianlah nilai al-Quran itu bagi manusia – tiada ternilai! Malangnya, mungkin abad kedua puluh – mungkin kita perlu masukkan abad kesembilan belas juga – inilah abad-abad yang paling kuat membantah al-Quran. Kita telah melihat akibat-akibatnya yang amat dahsyat: dua peperangan dunia, Perang Teluk (suatu perang pencerobohan pakatan imperialis terhadap sebuah negara kecil Dunia Ketiga yang keganasan dan penipuannya tidak ada tolok
banding dalam sejarah), kebuluran dan kemiskinan yang meluas hasil dasar riba dan penindasan ekonomi internasional dan huru-hara dan kacau-bilau di sana sini.

Mari kita lihat secara ringkas mengapa al-Quran itu sebuah kitab yang “menakjubkan, kebal, dan menunjuk ke jalan yang benar.” Saya ingin mengutarakan lima konsep saja, yang disebut dalam al-Quran, untuk membuktikan hal ini. Lima konsep itu ialah (1) konsep manusia
sebagai khalifah atau pemerintah di dunia, (2) konsep kesatuan dan persahabatan manusia, (3) konsep persaudaraan dan perpaduan mukmin, (4) konsep jihad di jalan Tuhan, yakni perjuangan moral baik lawan jahat, dan (5) konsep kemajuan atau peningkatan manusia dari tahap ke tahap. Jika kelima-lima konsep ini dikaji, difahami, dihayati
dan dipraktikkan oleh para mukmin di seluruh dunia, neoimperialisme dunia, seperti yang terjelma dengan terang dalam Perang Teluk, tidak akan wujud, kebuluran dan kemiskinan akan hapus, peperangan akan hapus dan persahabatan antarabangsa akan wujud dan sebuah dunia yang aman, adil dan makmur akan lahir. Bukankah ini cita-cita manusia mukmin dan baik dari sejak dulu? Sejak Adam
a.s., Idris a.s., Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s., Isa a.s.; sejak Plato,
Buddha, Confusius, Asoka, Hamurrabi, Zoroaster, dan Mencius?

Konsep manusia sebagai khalifah melahirkan manusia yang kreatif, dinamik dan aktif yang menciptakan sains, seni dan falsafah dan membangunkan masyarakat baik dan membangunkan tamadun. Konsep kesatuan dan persahabatan manusia akan melahirkan pandangan hidup universalisme dan humanisme yang akan membawa kepada kerjasama antarabangsa dan keamanan dunia, menolak faham kepuakan dan perkauman yang membawa kepada peperangan dan kerosakan.

Konsep persaudaraan dan perpaduan mukmin mewujudkan sebuah masyarakat inti dalam kalangan manusia yang akan menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan dan, dengan itu, akan melahirkan sebuah dunia yang aman dan adil. Masyarakat inti ini dengan sendirinya akan melakukan jihad di jalan Tuhan, yakni di jalan kebenaran dan keadilan, dan dengan itu membawa kepada
lahirnya masyarakat yang aman dan adil tadi.

Konsep perkembangan manusia dari tahap ke tahap memberikan kita suatu visi sejarah tentang masa depan manusia yang agung. Ia
akan merangsangkan kita bekerja untuk kebaikan bersama sebagai suatu bangsa dan juga sebagai satu masyarakat antrabangsa. Dari abad ke-15, khasnya dalam abad ke-19, Eropah melanda dunia dengan penjajahannya dan dengan itu menghapuskan masyarakat-masyarakat bebas di Asia dan Afrika dan menghapuskan masyarakat antarabangsa berdasarkan persahabatan dan kerjasama serta memaksakan tatadunia kolonial yang masih belum hapus hingga sekarang, yang ternyata dalam struktur PBB.

Allah SWT menerangkan kepada kita dalam al-Quran bahawa ada tiga saksi kepada kebenaran Ilahi. Pertama kesaksian alam semesta,
termasuk diri manusia itu sendiri. Kedua, kesaksian sejarah. Ketiga, kesaksian Allah SWT sendiri, melalui wahyu-wahyu-Nya, khasnya al-Quran. Jadi, alam semesta, atau nature, sejarah, dan al-Quran – ketiga-tiga menunjuk kepada dan membuktikan kebenaran Ilahi.

Ada dua jenis buku dalam dunia: Buku Bertulis dan Buku Tak Bertulis. Kedua-duanya memberi saksi kepada Ilahi dan membenarkan Ilahi. Buku Bertulis itu tidak lain daripada al-Quran, termasuk kitab-kitab suci lain, seperti Taurat, Injil dan Zabur, sejauh mana mereka tidak bercanggah dengan al-Quran. Buku Tak Bertulis ialah alam semesta, yang manusia kaji untuk mempelajari undang-undang di sebalik kejadian Ilahi ini. Demikian juga manusia
kaji sejarah untuk mengetahui undang-undang perjalanan sejarah. Sejauh mana kajian-kajian ini benar, sejauh itulah mereka mensahkan al-Quran. Al-Quran menjadi pengukur yang muktamad, mengukur dan mensahkan segala sesuatu dalam dunia ini. Dalam bahasa al-Quran, al-Quran itu al-Furqan. Oleh yang demikian, sekiranya pengkaji-pengkaji alam semesta dan sejarah mengambil panduan mereka dari al-Quran, kerja-kerja mereka akan menjadi lebih mudah, lebih produktif dan lebih bermutu.

Itulah sebabnya al-Quran itu sebuah buku yang “ajaib, kebal dan menunjuk kepada jalan yang benar.” Itulah sebabnya malam al-Quran diberi kepada Nabi Muhammad SAW “lebih baik daripada seribu bulan”. Itulah juga sebabnya Nabi Muhammad SAW yang diberikan al-Quran itu “rahmat kepada seluruh dunia.” (Al-Anbia: 107)

About Farouk A. Peru

I am a human being in the world, blogging my existence. My thought systems may be found in my website: www.farouk.name
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen